BAHAYA PARA PENCERAMAH
Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
Sejak kebelakangan ini, ramai para penceramah agama muncul di tengah gelanggang
masyarakat. Dari yang diketahui asal-usul pendidikannya sehinggalah kepada yang
tidak diketahui dari mana datangnya. Modal
sesetengah mereka ialah maklumat yang dikutip dari apa sahaja bahan yang sampai
kepada mereka. Ibarat kata, membujur lalu, melintang patah. Mereka tidak
mempunyai kekuatan ilmiah dan minda dalam menilai dan menapis fakta. Maka, semua
yang dibaca dianggap benar dan disampaikan. Sehingga buku palsu “Dialog Nabi
s.a.w Dengan Iblis” juga dipercayai. Antaranya konon baginda Nabi s.a.w bertanya
Iblis, “apakah tempat yang paling engkau suka?”. Jawab Iblis “panggung wayang”.
Kita tahu pada zaman Nabi s.a.w belum ada panggung wayang. Bagaimana mungkin
istilah ini muncul. Sudahlah cerita-cerita dalamnya tidak mempunyai sanad yang
diterima, ditambah lagi dengan kebodohan jalan cerita yang boleh menyebabkan
generasi yang berakal menolak agama. Padahal itu bukan fakta agama. Al-Quran
sendiri tidak menyebut peralatan senjata moden, sebaliknya menyebut kuda, bagi
memahamkan senjata terbaik ketika itu. Mana mungkin hadith menyebut istilah yang
tidak wujud di zaman tersebut.
Orang ramai yang jahil menjadi mangsa. Mereka tidak dapat membezakan antara
tokoh ilmiah dengan ‘ustaz jadi-jadian’ yang menjadi penceramah segera dengan
hanya belajar beberapa hari atau baca beberapa buku melayu, atau terjemahan.
Lalu ada yang menghiasi ceramahnya dengan hadith-hadith palsu, fitnah, lawak
jenaka, maki hamun yang ada pula pendengar yang sudi menadah telinga untuk
mereka. Jika keadaan ini dibiarkan, entah berapa ramai lagi ‘Sharil Long’ yang
akan muncul. Rosaklah kemurnian masjid dan surau.
Lebih malang lagi, orang melayu ada yang
menganggap sesiapa sahaja yang pulang dari Timur Tengah mesti pandai agama.
Mereka lupa berapa ramai Arab yang jahil agama dalam ertikata yang teramat
sangat. Mereka tidak sedar ramai juga yang ke Timur Tengah, tapi tidak
belajar. Hanya sekadar tidur, makan angin, duduk dengan sesama melayu. Jika
belajar pun, belajar sesama sendiri, atau mana-mana ustaz Indon, kemudian pulang
kononnya sebagai lulusan Timur Tengah. Apa yang dia lulus pun kita tidak tahu?!!
Siapa gurunya? Ada yang hanya mampu menyebut nama seorang dua Indon atau melayu
yang mengajar di sana. Tokoh-tokoh ilmuan Arab ditinggalkan. Mereka tidak ambil
manfaat keilmuan tokoh-tokoh yang mereka kembara ke negera mereka itu.
Kitab-kitab mereka yang hebat dan ilmiah tidak dibaca. Bahkan, jangan hairan,
ada yang pulang dari Timur Tengah, kurang mampu membaca bahan dalam Bahasa Arab.
Jika mampu, ada pula yang kurang menguasai bahan dan tidak banyak tahu tentang
latar belakang bahan-bahan ilmiah. Apatah lagi sistem sesetengah pusat pengajian
di Timur Tengah seperti al-Azhar tidak mengambil pusing tentang kehadiran
pelajar. Bagaimana mereka lulus, –jika betul lulus- tanyalah kepada yang jujur?!!!
Maaf saya katakan, sesetengah mereka sebenar tidak pulang membawa khazanah ilmu.
Mereka membawa diri mereka yang asal. Mereka bagaikan barangan Thailand yang
dihantar ke Amerika, dicop di sana dan dikirim semula. Dengan nama Timur Tengah,
ramai juga yang menjadi penceramah. Hanya atas nama itu, orang ramai menganggap
semua isi kandungan ucapan mereka benar. Maka mereka ini tidak memiliki
penguasaan ilmiah dan metodologi yang betul dalam menilai bahan-bahan agama yang
disampaikan.
Bidang keilmuan itu sendiri luas. Sekalipun bagi yang belajar, bukan semua ilmu
dikuasainya. Maka bukan semua pula yang benar-benar bersijil, atau berguru
menjadi alim. Ilmu diukur pada kemampuan dan pembuktian kajian.
Para ulama hadith sejak dahulu mengingatkan umat
Islam tentang bahaya golongan qussas dan wu’adz. Golongan ini adalah
antara yang paling berperanan menyediakan hadith palsu, atau menyebarkannya.
Bahkan melalui mereka tersebarnya Israiliyyat, petua-petua khurafat dan
cerita-cerita karut yang disandarkan kepada tokoh itu dan ini. Agama tercemar
kerana mereka.Secara ringkas kita terjemahkan
wu’adz dan qussas sebagai para penceramah agama dan penglipurlara.
Mungkin kita akan bertanya, apakah bahaya? Tidakkah mereka ini memberi nasihat
di masjid dan surau kepada orang ramai. Orang ramai pula dapat mengambil manfaat
daripada mereka?!.
Kita katakan, bahayanya bukan kerana mereka memberikan nasihat, tapi bahayanya
kerana ada isi kandungan agama yang terkandung dalam ucapan-ucapan mereka banyak
yang tidak benar. Orang ramai terseleweng kerana mereka. Walaupun kita sedar
bukan semua penceramah begitu. Ramai juga penceramah yang berhati-hati dalam
penyampaian maklumat dan hadith-hadith yang dibaca. Namun lebih ramai penceramah
yang hanya memikirkan apa yang disukai oleh pendengar semata. Kata Dr. Nasir bin
`Abd al-Karim al-`Aql: “Qussas mereka itu
adalah wu’`azd yang mengadakan majlis-majlis untuk memberi nasihat, yang mana
ianya menyanggahi majlis ilmu. Mereka memberi nasihat kepada orang ramai dengan
berbagai hikayat, israiliyyat dan seumpamanya yang tidak ada asal usulnya, atau
palsu, atau apa yang akal orang awam tidak dapat memikirkannya.” (Nasir
bin `Abd al-Karim al-`Aql, Al-Ahwa` wa al-Firaq wa al-Bida’ `ibr Tarikh
al-Islam, m.s. 44, cetakan Dar al-Watan, Riyad).
Sepatutnya majlis-majlis nasihat mestilah berteraskan ilmu yang tulen. Ayat-ayat
al-Quran yang dihuraikan mestilah memenuhi disiplin ‘Ulum al-Quran yang telah
digariskan oleh para ulama. Demikian sesiapa yang ingin menghuraikan hadith
mestilah mempunyai latar pengetahuan mengenai ‘Ulum al-Hadith. Begitu juga yang
membicarakan persoalan fiqh, mestilah mempunyai pengetahuan tentang Usul al-Fiqh.
Kata al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) ketika mengulas mengenai tipu daya iblis
terhadap wu’adz dan qussas ini: “Dahulunya para
wa’`azd adalah ulama dan fuqaha’..kemudian bidang ini dicemari maka ianya
disertai oleh golongan jahil…maka golongan awam dan wanita begitu suka kepada
mereka. Lantas orang ramai tidak lagi sibuk dengan ilmu sebaliknya mereka
berpaling kepada cerita-cerita dan perkara yang diminati oleh orang yang jahil.
Maka timbullah berbagai bid`ah dalam bidang ini… di kalangan mereka ada yang
memalsukan hadith-hadith dalam al-targhib (menggalakkan ibadah) dan al-tarhib (menakutkan
orang ramai terhadap maksiat). Iblis menipu mereka lalu mereka berkata: “tujuan
kami ialah untuk menggalakkan orang ramai kepada kebaikan dan menghalang mereka
daripada kejahatan. Ini adalah penambahan mereka terhadap syariat. Justeru
dengan perbuatan ini, syariat pada sisi mereka adalah cacat dan berhajatkan
kepada penyempurnaan. Mereka lupa sabda Nabi S.A.W:
“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja,
maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Ibn Jauzi, Talbis
Iblis, m.s. 143 Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut)
Kita sedar ramai yang ingin jadi penceramah agama. Kata mereka ‘lumayan’.
Mungkin benar bagi yang mencari wang untuk kesenangan sendiri, bukan untuk
pembangunan minda dan kekuatan umat. Justeru, ada yang berhenti kerja, kerana
hendak berceramah. Orang ramai menamakan mereka pendakwah bebas atau seumpamanya.
Saya tidak pasti, apakah semua mereka benar-benar ingin berdakwah kepada Islam
yang benar dan tulen. Dalam ertikata menghuraikannya dengan disiplin yang
diletakkan oleh para sarjana Islam yang muktabar dalam berbagai bidang. Atau
mungkin hanya segelintir, selainnya dibimbangi seperti yang disebut oleh Imam
al-Sakhawi (meninggal 902H): “Antara pereka
hadith palsu itu ialah golongan yang mendapat untung dan mencari rezeki dengan
hadith-hadith palsu dalam cerita-cerita dan nasihat-nasihat mereka” (Al-Sakhawi,
Fath al-Mughith, 1/282, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut)
Malangnya apa yang disebut oleh para ulama itu berterusan sehingga ke hari ini.
Walaupun kebanyakan penceramah tidak lagi mencipta sendiri hadith-hadith palsu,
tetapi mereka mengambil hadith-hadith palsu daripada orang lain untuk menyukakan
para pendengar. Cerita-cerita dusta tentang para nabi dan wali menjadi bahan
ceramah. Demikian juga riwayat-riwayat Israiliyyat dan seumpamanya. Apabila ada
orang berbangsa cina di dalam majlis umpamanya, mereka pun menyebut Nabi
bersabda: (Tuntutlah ilmu sekalipun ke China)
Ini hadith yang palsu seperti yang disebut oleh para ulama. (Lihat: Al-Jarrahi,
Kasyf al-Khafa 1/138, cetakan Dar Ihya al-Turath al-`Arabi, Beirut/ / Nasir
al-Din al-Albani, Silsilah ad-Dha`ifah wa Al-Maudu`ah, 1/600, cetakan: Maktabah
al-Ma`arif, Riyadh). Malangnya ramai yang tidak memberi perhatian tentang hal
ini. Sehingga ada forum perdana dianjurkan dengan tajuk hadith palsu ini.
Demikian juga apabila datang bulan Rejab atau Sya’ban, atau Ramadan, maka mereka
pun membaca hadith palsu: “Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan
bulan umatku”. Ini adalah hadith palsu yang
direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif
fi al-Sahih wa al-Dha`if , m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah,
Halab, Syria) Nama penuhnya Ibn Jahdam ialah `Ali bin `Abdillah bin Jahdam al-Zahid.
Beliau meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia
juga dituduh membuat hadith palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada
jumaat pertama bulan Rejab) (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd
al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut)
Sekalipun ia adalah riwayat yang batil, mereka tidak peduli. Apa yang mereka
pentingkan ialah orang ramai suka dengan apa yang mereka sebut. Kata al-Syeikh
Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib: “Kebanyakan qussas
mereka hanya pentingkan orang ramai berkumpul kepada mereka. Maka mereka pun
mencipta hadith apa yang orang ramai sukai yang boleh membangkitkan jiwa,
menggerakkan perasaan dan memberikan harapan terhadap apa yang orang ramai suka.
Di kalangan para qussas ada yang melakukan itu semua demi untuk memperolehi
habuan dan faedah dari pendengar. Kebanyakan bala datang daripada mereka. Mereka
berdusta kepada Nabi s.a.w.dan tidak pula menganggap itu sebagai dosa dan
pembohongan. Peliknya, mendukacitakan mereka memperolehi pula telinga-telinga
yang sudi mendengar, membenarkan dan membela mereka. Ini disebabkan kejahilan
orang awam yang tidak mementingkan kajian dan penelitian”.( Muhammad
‘Ajjaj al-Khatib, Usul al-Hadith, m.s. 424, cetakan Dar al-Fikr, Beirut)
Inilah hakikat yang sedang berlaku sehingga ke hari ini. Entah berapa ramai
penceramah tidak meneliti kedudukan hadith-hadith yang dibacanya. Apa yang
mereka pentingkan ialah jempuan orang ramai dan kesudian mereka untuk mendengar.
Sebab itulah pada zaman dahulu Ibn `Umar mengarahkan agar pihak berkuasa
mengeluarkan mereka dari masjid dan `Umar bin `Abd al-`Aziz pula memenjarakan
mereka dan sesiapa yang duduk dalam majlis mereka. ( Lihat: Nasir bin `Abd al-Karim
al-`Aql, Al-Ahwa` wa al-Firaq wa al-Bida’ `ibr Tarikh al-Islam, m.s. 44.)
Kesalahan mereka bukan kerana mereka memberi nasihat kepada orang ramai.
Rasulullah S.A.W. dan para ulama salaf juga memberi ceramah dan nasihat kepada
orang ramai. Namun yang salah ialah mereka menyebarkan perkara-perkara palsu.
Menyandarkan maklumat palsu kepada Islam adalah sesuatu yang amat haram.
Malangnya perkara yang amat diharamkan syarak ini berlaku di masjid-masjid. Kata
al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadith al-Azhar):
“Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu
hadith, samada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadith). Mereka hanya
membaca hadith apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui
kedudukan hadith tersebut. Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai.
Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam
tiada kaitan dengannya. Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi
nasihat dan bertazkirah." (Abu Syahbah, al-Wasit fi `Ulum wa al-Mustalah
al-Hadith, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-`Arabi, Kaherah).