QAHAAR: Lintas Langsung Dari Timur Tengah (8):
Kerana Allah
30 April 2005
Oleh Khadija Abdul Qahaar, Diterbitkan Secara Eksklusif Oleh JUS
Terjemahan oleh Panel Penterjemah Darulkautsar.com
Setiap hari, di seluruh pelusuk Mesir dan tempat-tempat lain yang
digelar negara Islam, pelbagai salahlaku dan penyelewengan
dilakukan, hampir kesemuanya konon 'Kerana Allah'. Sementara menara-menara
melaungkan suara azan, dan sebilangan besar orang-orang yang beriman
menyahut seruan untuk mengerjakan solat, di
celah-celah solat fardu yang lima terlihat dengan jelas
kelemahan sebenar umat Islam.
Sebagai orang
Barat, saya tidak menjangka akan benar-benar diterima di bumi asing.
Akan tetapi Islam adalah agama sejagat, intipati darinya adalah
keadilan bagi setiap lelaki dan wanita tanpa mengira bangsa, warna
kulit, keturunan mahupun status. Bagaimanapun saya tersilap apabila
menganggap Mesir adalah sebuah negara Islam. Secara
keseluruhannya, Mesir yang pernah dijajah oleh pelbagai kuasa asing
samada Greek(Yunani), Turki, Eropah dan Israel, sedang sedaya upaya
mengekalkan mercu tanda kebudayaan yang bersejarah dan tinggalan
tamadun purba, tetapi mengabaikan Allah.
Sudah lama penduduk Mesir kehilangan identiti keIslamannya yang
sebenar, walaupun terdapat lambakan kitab Qur'an di tepi-tepi jalan
untuk dijual kepada para pengunjung; dan tulisan khat Arab yang
terukir pada batu-batu. Pemandangan sebegini adalah amat berbeza
sekali dengan lautan satelit parabola yang bertenggek di setiap
bumbung rumah, hatta rumah paling daif tidak bertingkap di kawasan
perkuburan yang dijadikan penempatan setinggan. Hampir setiap orang
memiliki telefon bimbit yang digunakan untuk bercakap tanpa henti. Meskipun berada pada paras
kemiskinan yang serius, televisyen satelit dan telefon
selular merupakan perniagaan berbillion dollar di Mesir.
Tenggelam dengan bantuan kewangan Amerika Syarikat
Sebenarnya, kerosakan akhlak dan korupsi ekonomi
Mesir berpaksi kepada suatu masalah yang rumit. Pertama sekali, Mesir adalah
dalam senarai penerima bantuan kewangan dari AS sebanyak lebih dari 10 billion
dolar sejak 1978, hanya untuk satu tujuan sahaja iaitu untuk berdamai
dengan Israel, anak emas Amerika. Walaupun menerima wang dalam
jumlah yang begitu besar, taraf hidup Mesir masih terlalu rendah.
Hakikatnya, penduduk Mesir masih terikat dengan ekonomi yang
dikuasai dominasi
kerajaan, dan Amerika tidak ambil kisah selagi Mesir tetap berdamai negara jirannya itu.
Mengekalkan
penduduk dalam keadaan miskin adalah cara sebuah rejim yang korup
mengawal rakyatnya. Bantuan Luar AS (US AID) sebanyak hampir 200
juta Dollar telah diberikan pada 1980 untuk membolehkan Mesir mengasaskan
industri simen tempatan bagi membolehkan negara itu
menghasilkan sendiri simen yang sebelumnya diimport.
Alasannya, industri simen tempatan akan menjimatkan pertukaran wang asing
Mesir. Peruntukan bantuan itu telah disalurkan kepada sebuah
syarikat simen "awam" (public private). Setelah beratus-ratus juta
Dollar dihabiskan, kilang simen tempatan masih belum dapat mengeluarkan
hasil disebabkan kelewatan pembinaan, mesin yang bermasalah,
tenaga buruh tidak mahir dan pembahagian kontrak yang tidak adil.
US AID juga telah membelanjakan 24
juta Dollar di Mesir selama lima tahun dalam usaha untuk membina 29
buah kilang roti milik Mubarak dan 10 buah lagi milik swasta.
Kerajaan Mesir memutuskan untuk mengurangkan kos pengeluaran roti
dengan memusatkan lokasi kilang-kilang roti, akan tetapi projek
tersebut gagal disebabkan salah urus. Pembinaan
kilang roti itu sepatutnya disegerakan, tetapi kontraktor telah
menyimpan wang geran tersebut ke dalam bank riba untuk mengutip
faedah, melanggar hukum Allah. Meskipun sekiranya projek itu
berjaya, kesannya adalah negatif kerana kerajaan akan mengakibatkan
sebilangan besar pengilang kecil swasta gulung tikar. Lebih dari separuh
kenderaan yang dibekalkan oleh AS menerusi tujuh projek US AID telah
dicuri, atau disalahguna oleh pegawai-pegawai kerajaan Mesir untuk
kegunaan peribadi, atau telah rosak dan tidak diperbaiki.
Juru odit AS telah menemui sembilan buah jentera angkut (forklift) bernilai 132,000
Dollar AS dalam keadaan sempurna; pihak Mesir mendakwa mereka tidak mampu
membeli bahan api untuk membolehkan mesin itu
berfungsi. Sungguh memalukan!
Baru-baru ini saya terbaca
satu artikel dalam sebuah majalah Amerika tentang jasa-jasa AS
terhadap Mesir, antaranya membekalkan air bersih, mengangkut sampah
dan membekalkan makanan kepada golongan miskin. Tolonglah!
Jelas sekali penulis artikel itu tidak pernah datang
ke Mesir! Hakikatnya tidak ada lori khidmat pengangkutan sampah di Mesir
kecuali untuk Kementerian Luar, pusat-pusat pelancongan dan istana Presiden Hosni
Mubarak. Air pula sangat kotor, meminum air tersebut
seperti dijatuhkan hukuman mati! Bilangan penduduk Mesir yang
menderita penyakit hati (walaupun kadar penggunaan alkohol di sini
sangat rendah) dan penyakit-penyakit kulit berada pada tahap
mencemaskan, kesemua ini berpunca dari bekalan air yang kotor.
Khidmat perubatan yang sempurna tidak mampu diperolehi, melainkan
anda adalah sebahagian daripada sistem pemerintahan yang korup itu,
seorang artis ataupun orang asing. Orang yang berumur 50
tahun di Mesir kelihatan seperti berusia 70 tahun, dan anda dianggap sebagai orang tua
apabila mencecah usia 40 tahun.
Sehingga sekarang, walaupun kononnya sistem politik dikatakan semakin
terbuka, rakyat Mesir tidak berani menanggung risiko. Dalam satu rapat umum baru-baru ini, 250 orang
telah ditangkap sebelum perhimpunan bermula, seorang calon
pembangkang dipenjarakan atas keSallahan “rasuah”, jalan raya
dibanjiri askar sehingga lalulintas terhenti, dan hasilnya tidak
ramai yang dapat menyertai rapat umum tersebut. Rakyat Mesir dengan
taatnya akan
mengundi semula Mubarak (atau anak lelakinya, sekiranya beliau tidak
bertanding) kerana bimbangkan akibat buruk. “Reformasi Politik”
hanyalah sekadar untuk mengabui mata.
Bertopengkan
Islam
Hakikatnya, 93% Umat Islam Sunni di Mesir
kebanyakannya hanyalah Islam pada nama sahaja. Mereka lebih takut
kepada Mubarak daripada takutkan Allah. Apabila dipadukan keutamaan
yang Sallah bersama kemiskinan, hasilnya adalah sebuah masyarakat yang lumpuh,
tidak mampu menjaga diri sendiri dan sentiasa sibuk mengisi perut,
bercakap kosong menerusi telefon selular dan menonton siaran TV dari
Amerika. Mereka sanggup bertengkar selama satu jam kerana 1
LE(matawang Pound Mesir) sedangkan dalam tempoh masa yang sama, mereka
sebenarnya boleh mendapatkan lebih dari 5 LE. Masa tidak mempunyai
nilai di Mesir, produktiviti adalah suatu konsep yang teramat asing
dan segala bentuk korupsi dihalalkan atas alasan kemiskinan; selalunya
dilakukan kononnya atas nama Allah!
Satu contoh, ialah apabila
saya ingin menukar terendak
lampu di pangsapuri. Sallah membawa saya ke
dataran “Attabah’, tempat yang terkenal dengan barang murah. Oleh kerana
gagal memperolehi tempat letak
kereta, saya terus masuk ke kawasan kedai yang berselerak itu
sendirian– sesuatu yang jarang saya lakukan tanpa
bantuan Sallah kerana
sebagai orang asing, saya tentu terpaksa membayar dengan harga
yang lebih tinggi dari sepatutnya.
Setelah puas keluar masuk kedai-kedai yang ada di situ untuk mencari ‘topi'
berwarna kelabu, saya menemui sebuah kedai yang sanggup
membuatnya memandangkan tiada yang siap dijual. Saya telah menunjukkan warna dan rekabentuk yang dikehendaki, dan
membayar deposit sebanyak 50%, iaitu 25 LE. Mereka
mengatakan bahawa terendak lampu itu akan siap pada hari Selasa. Kosnya adalah 50
LE (atau 10 Dollar AS). Saya bersetuju dengan harga yang dinyatakan
dan akan datang semula ke kedai itu
pada hari Rabu. Sambil berjalan ke kereta, saya berasa
agak bangga kerana mampu melaksanakan urusniaga tadi seorang diri.
Malangnya rasa bangga tadi hanya sementara.
Tiba hari yang
dijanjikan, Sallah
meletakkan kereta dan kami masuk ke dalam kedai itu untuk
mendapatkan tempahan tempoh hari. Sungguh memeranjatkan, setelah
menanti lebih 40 minit, terendak lampu itu belum disiapkan. Lebih
tepat, masih belum dibuat. Saya memberi kata dua "Kalau begitu
pulangkan wang deposit saya, batalkan saja tempahan itu"
memandangkan hal ini sebenarnya satu perkara kecil dan banyak lagi
perkara lain yang perlu diberi tumpuan.
Saya hanya menuntut keadilan, sesuatu yang jarang sekali
diminta, dituntut atau diperolehi oleh orang Mesir. Ketika itu,
orang ramai berkerumun sewaktu saya meminta deposit dipulangkan. "Jangan!
Kita berunding dengan tuan kedai, tunggu!" Saya perlu membayar upah
Sallah
sebagai pemandu, buat apa tunggu lama-lama? Akhirnya pemilik kedai pun muncul dan memberitahu Sallah dalam bahasa Arab
bahawa warna yang dikehendaki oleh saya tiada dalam pasaran,
tetapi mereka sanggup mendapatkannya untuk saya (tentunya dalam
tempoh masa satu minggu lagi) berdasarkan “Anda saudari
seIslam kami, jadi kami akan dapatkannya juga kerana Allah, dengan
hanya bayaran tambahan 25 LE." Ini betul-betul melampau dan saya
sedar semuanya sudah terlambat; saya 'basuh' tuan kedai itu. Sudah
tentu dia tidak faham apa yang saya katakan semasa memanggilnya “stupid scheming Arab”
(Arab penipu bahlul) dan terus berleter sambil berjalan keluar
dari kedai menerusi orang ramai yang kelihatan terhibur melihat 'persembahan'
di situ, sambil memanggil Sallah "Kita balik sekarang."
Walaupun saya yakin Sallah hanya cuba menjaga kepentingan
saya, kerana saya telah memberi 'penyamun' itu 25 LE, dia masih mahu
berunding dengan tuan kedai. Dengan penguasaan
bahasa Arab yang sederhana, saya faham bahawa pertengkaran mereka
berpusing-pusing pada perkara yang sama. Bagi saya, semua ini sudah
tidak perlu dipedulikan lagi.
“Tunggu, tunggu!” kata Sallah. “La', La' - Tidak
usahlah, tiada
apa lagi” jawab saya sambil berjalan keluar ke jalan besar,
masih menggeletar menahan marah. Selepas beberapa minit, Sallah masih
belum keluar dari kawasan itu. Maka saya berjalan pergi semula
ke kedai itu dan berkata “Sallah, kalau kamu masih mahu bekerja
dengan saya, balik sekarang!” Barulah beliau keluar dari situ.
Tujuan Sallah itu memang baik, masalahnya beliau gagal untuk memahami
satu perkara yang penting. Di saat kami ke kedai itu dan memdapati
lampu yang dikehendaki itu tiada, saya sudah pun rugi. Soalnya,
berapa banyak lagi kerugian yang perlu saya tanggung? Saya
sudah pun kerugian waktu, ketika pergi mendapatkannya, paling tidak, saya
perlu pergi sekali lagi (minggu berikutnya). Saya sudah rugi
membayar upah pemandu walhal wang itu boleh digunakan untuk
perkara-perkara lain. Sallah tidak faham perbezaan antara harga dan kos.
Bila saya diberitahu “bayar lebih lagi kerana Allah”, kosnya terlalu besar; bukan sahaja Allah dihina, saya pula
hilang kesabaran, sesuatu yang tidak patut dilakukan seorang
Muslim. Wajarkah saya memberi muka kepada syarikat ini dengan
membayar lebih lagi selepas ini? Tentu tidak. Lebih baik mereka
hanya menyimpan 25 LE itu sahaja dan cerita ini habis di sini. Apabila
sampai di jalan besar, saya segera bersedekah untuk menebus dosa
marahkan “kecurian” tadi. Sallah
terus berkeras akan pergi semula ke kedai itu sendiri untuk
menyelesaikan hal ini. Saya menerangkan kepadanya, bahawa saya
tidak akan menerima “chapeau”(terendak lampu) itu
sekarang, dalam apa keadaan pun – meskipun jika mereka sendiri
menyerahkannya secara sukarela. Ini
adalah penghinaan kepada Allah, dan saya tidak mahu menerima apa-apa melalui cara
yang hina ini. Saya, dan pemilik kedai itu
akan disoal di akhirat nanti. Mempergunakan nama
Allah untuk menjual sebuah terendak lampu berharga 50 LE dengan
harga lebih 25 LE lagi memang tak masuk akal dan saya enggan
bersubahat dalam hal ini.
Kes yang lain berlaku pada satu
hari, sewaktu saya berada di Al-Azhar menunggu kelas pengajian Sheikh Abdullah.
Saya berada di luar bangunan sambil berbual dengan Sallah seorang
pekerja di situ. Tiba-tiba datang seorang lelaki menemuinya dan menyerahkan
beberapa keping CD Rom. Wang pun bertukar tangan. “Apa
benda tu?” Saya bertanya. Mukanya menjadi
merah. “Puan tak usah tanyalah” katanya.
“Saya benar-benar ingin tahu, apakah bendanya?”” saya
bertanya sekali lagi dengan sangkaan ianya mengandungi kuliah agama
atau sepertinya. Berbelah-bahagi samada hendak berkata benar atau
berbohong,
spontan dia menjawab: "VCD lucah”. “Benda lucah?!”
saya terkejut. “Apa kamu buat dengan benda lucah ini?”
saya bertanya dengan marah. “Usah bimbang puan,
saya tidak menontonnya” katanya dengan bangga. Saya berkhutbah
panjang kepadanya bahawa dia bersubahat
mengedarkan benda haram dan tetap berdosa. “Tidak, tidak. Selagi saya
tidak menontonnya ianya halal” dia masih menegakkan benang
basah. Samada
menontonnya atau tidak, mengambil keuntungan daripadanya dan
mengedarkannya hanya untuk beberapa LE di perkarangan sebuah
institusi
Islam terkemuka, membuat saya berasa loya. Halal? Saya rasa tidak!!
Inilah
contoh yang menggambarkan konflik
identiti yang wujud dalam masyarakat Mesir. Sementara mereka mengaku sebagai
hamba Allah, dalam masa yang sama mereka menyimpang jauh
daripada prinsip-prinsip teras Islam dengan meminda sunnah Rasulullah s.a.w. Perkara ini
tidak berlaku di Mesir sahaja, tetapi boleh dikatakan menular di
seluruh Timur Tengah secara umum. Kelemahan sebeginilah yang
membolehkan tanah air kita dijajah, dikongkong dan dirompak oleh
kuasa asing. Meskipun seruan 'kembali kepada Islam sebenar' menjadi
seruan di sana sini, hakikatnya yang dipuja adalah Dolar Amerika,
bukan Allah. Kenyataan ini menguntungkan musuh-musuh Allah dalam
jangka panjang. Walaupun rakyat Amerika tidak menyenangi tindakan
kerajaannya memperuntukkan begitu banyak wang untuk Mesir dengan
pulangan yang terlalu kecil, ini memang sebahagian daripada strategi
polisi asing untuk membuatkan umat Islam bercakaran merebut wang 'puaka'
tersebut, serta sanggup menjual saudara mereka sendiri demi wang
yang tak seberapa.
Semua ini hanyalah beberapa contoh betapa
singkatnya pemikiran umat Islam hari ini, merosot dalam segala hal,
hari demi hari. Lemahnya keyakinan terhadap Allah secara umum
oleh umat Islam Mesir, benar-benar menyedihkan. Allah menjamin rezeki
burung-burung yang berterbangan
– takkanlah hamba-hambaNya diabaikan? Sudah tentu Dia akan
menjamin rezeki kita, dengan syarat kita mestilah benar dalam
beragama. Selagi umat Islam Mesir menggunakan cara mereka sendiri
termasuk putarbelit dan menipu (yang itu pun mereka tidak begitu
mahir), mereka
akan terus kelaparan. Masalah yang dihadapi oleh rakyat Mesir
bukanlah regim Mubarak, kemiskinan, pengangguran, buta huruf mahupun
kekurangan sumber mentah; masalah sebenar ialah kurangnya keyakinan
kepada Allah. Selagi keadaan ini tidak berubah, harapan untuk Islam
bangkit di Mesir adalah kabur. Meskipun aktiviti dakwah ke dunia
Barat merupakan satu inisiatif penting, dakwah itu sendiri amat
diperlukan di tengah-tengah dunia Arab dan Muslim, jika benar-benar
mahu kembali kepada Islam agar umat ini bangkit sebagai pemimpin
dunia yang merdeka, yang hanya tunduk kepada Allah semata-mata.
Tamat Bab 8
Selesai ditulis pada 19 Mac,
2004