KEWAJIPAN ORANG-ORANG ISLAM TERHADAP AL-SUNNAH
oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Al-Sunnah al-Nabawiyyah adalah manhaj yang lengkap bagi kehidupan
individu dan masyarakat Islam, sebagaimana yang kita ketahui ia sebagai penafsir
al-Qur'an dan gambaran Islam.
Rasulullah s.a.w. adalah pernyataan al-Qur'an dan gambaran Islam yang
tergambar pada setiap ucapan, perbuatannya dan sirahnya, baik ketika
bersendirian mahupun di kalangan orang ramai, sama ada ketika di dalam negeri
atau bermusafir, ketika jaga dan tidur. Pernyataan dan gambaran itu juga
terserlah pada kehidupan yang khusus untuk baginda atau untuk umum, perhubungan
dengan Allah s.w.t. dan dengan manusia, dengan kaum kerabat yang dekat dan yang
jauh, para ketua dan juga musuh-musuh, ketika aman dan perang, ketika tenteram
dan ketika ditimpa bencana.
Antara kewajipan orang Islam ialah mengetahui Manhaj Nabawi yang terdapat di
dalamnya ciri-ciri kesyumulan, kesempurnaan, seimbang dan mudah, yang terpancar
padanya makna ketuhanan yang utuh, kemanusiaan yang unggul dan keperibadian atau
akhlak yang kukuh.
Hal ini mewajibkan mereka mengetahui bagaimana hendak membetulkan kefahaman
tentang al-Sunnah yang mulia ini dan bagaimana cara berinteraksi dengan
pemahaman yang sebaik-baiknya sebagaimana amalan golongan terbaik umat ini,
iaitu kalangan Sahabat dan para pengikut mereka.
Pada pandangan penulis, masalah utama orang-orang Islam pada zaman ini ialah
krisis pemikiran yang merupakan masalah dalaman. Contoh paling jelas dalam
krisis pemikiran ini ialah masalah memahami dan berinteraksi dengan al-Sunnah,
khususnya pada sesetengah ajaran utama Islam, yang dapat ditanggapi oleh mata
kasar dan menjadi harapan serta diceburi oleh umat manusia di timur dan barat,
yang kebanyakannya adalah natijah kefahaman mereka yang dangkal dan tersasar
terhadap al-Sunnah.
WASPADA TERHADAP TIGA PENYAKIT
Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. yang memfokuskan
kepada ilmu pengetahuan, kenabian dan Risalah yang ada di tangan para pelampau,
pendusta dan orang-orang yang jahil.
Iaitu riwayat daripada oleh Ibn Jarir dan dilengkapkan dalam Fawa'idnya
dan oleh Ibn 'Adi dan lain-lain daripada Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda:
يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله ينفون عنه تحريف الغالين وانتحال المبطلين
وتأويل الجاهلين . رواه البيهقي
Terjemahan: Ilmu ini akan dibawa oleh orang-orang yang adil dari setiap generasi.
Mereka membersihkannya dari penyelewengan golongan pelampau, pendustaan
orang-orang sesat dan ta'wilan orang-orang jahil. Riwayat al-Baihaqi.
Inilah tiga faktor penghancur yang setiap satunya sama-sama berbahaya
terhadap warisan Nabi (al-Sunnah).
a. Penyelewengan Golongan Pelampau
Penyelewengan ini datang melalui cara yang melampau dan tokok tambah yang
bertukar dari bentuk kesederhanaan (wasatiyyah) yang menjadi keistimewaan agama
ini, berubah daripada konsep toleransi yang menjadi ciri agama yang mudah ini,
dan berubah daripada konsep tidak menyulitkan yang merupakan ciri taklif
syari'at ini.
Sesungguhnya sikap melampaulah yang telah membinasakan Ahli Kitab sebelum
ini, yang telah melampaui batas dalam aspek aqidah, ibadat dan tingkah laku.
Al-Qur'an telah merakamkan hal demikian ketika Allah s.w.t. berfirman:
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ
وَلَا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِنْ قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا
وَضَلُّوا عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ
"Katakanlah, "Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui
batas) dengan cara tidak benar dalam agama kamu. Dan janganlah kamu mengikuti
hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad)
dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia) dan mereka sesat dari jalan
yang lurus." ) al-Ma'idah:77).
Kerana ini Ibn 'Abbas telah meriwayatkan daripada Rasulullah s. a. w.:
إياكم والغلو في الدين فإنما هلك من كان قبلكم بالغلو في الدين
Terjemahan: Hendaklah kamu menjauhi sikap melampau-lampau dalam agama,
sesungguhnya orang yang terdahulu daripada kamu telah binasa kerana melampau
dalam agama. Riwayat Ibn Majah.
Dan diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud r.a. daripada Rasulullah s.a.w.:
هلك المتنطعون
Terjemahan: Orang-orang yang melampaui batas telah binasa. Riwayat
Muslim.
(Rasulullah s.a.w. mengucapkannya sebanyak tiga kali.)
b. Pendustaan oleh orang-orang sesat
Dalam hal ini terdapat pendustaan yang diserapkan oleh ahli-ahli pendusta
ke dalam manhaj al-Nabawi yang sebenarnya bukan daripada Baginda. Mereka
menampilkan rekaan-rekaan dan bid'ah ke dalamnya yang tidak dapat diterima oleh
sifat semulajadinya, ditolak oleh aqidah dan syari'atnya, dan jauh daripada
prinsip agama mahupun cabangnya.
Apabila mereka gagal menyusupkan sesuatu (rekaan dan bid'ah) ke dalam al-Qur'an
yang dipelihara di dalam dada orang-orang Islam, yang termaktub di dalam
mushaf-mushaf dan sentiasa dibaca oleh orang-orang Islam, mereka menyangka
usaha-usaha mereka untuk membuat pendustaan atau tokok tambah terhadap al-Sunnah
adalah lebih mudah, yang membolehkan mereka berkata, "Rasulullah s.a.w. bersabda
..." tanpa sebarang keterangan. Tetapi tokoh-tokoh ulama umat Islam dan para
pemelihara (pencinta) al-Sunnah telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya
untuk menghadapi mereka dan menutup segala pintu pendustaan.
Para ulama tidak akan menerima sebuah hadis pun tanpa sanad, dan mereka tidak
akan menerima sanad-sanad tanpa menjelaskan perawi-perawinya satu-persatu,
sehingga dikenali siapa dia dan diketahui riwayat hidupnya, bermula dari tarikh
kelahirannya hingga saat kematiannya. Mereka juga ingin mengetahui di mana dia
mendengar riwayat? Siapa guru-gurunya? Siapa sahabat-sahabatnya dan siapa
murid-muridnya. Setakat mana sifat amanah dan taqwanya? Bagaimana hafalan dan
ingatannya (kedabitan-nya)? dan setakat mana kesepakatannya dengan perawi-perawi
thiqah yang masyhur atau periwayatan yang lemah (gharib) secara sendirian.
Kerana itulah mereka mengatakan, "Al-Isnad (rantaian perawi) sebahagian daripada
agama, jika tanpa al-isnad, orang akan mengatakan apa sahaja yang mereka mahu.
Penuntut ilmu tanpa isnad seperti pencari kayu pada waktu malam!
Mereka juga tidak akan menerima sesebuah hadis melainkan hadis yang
bersambung sanadnya daripada awalnya hingga akhir oleh perawi-perawi yang thiqah
lagi adil dan dabit, tanpa kecacatan yang jelas atau tidak jelas dan selamat
daripada syaz atau illah (kecacatan) yang buruk.
Inilah ketelitian syarat-syarat dalam pengajian al-isnad yang menjadi
panduan dan ikutan bagi umat Islam dan yang telah didahului oleh umat yang maju
zaman ini dalam meletakkan asas-asas metodologi ilmu sejarah.
c. Takwilan Orang-orang Jahil
Dalam hal ini terdapat takwilan menyeleweng yang merosakkan hakikat
Islam, yang memalingkan kebenaran daripada tempatnya yang sebenar, yang
mengurangkan kandungan Islam, hingga terkeluar daripada hukum-hukum dan
ajaran-ajarannya yang dasar. Hal ini dapat dilihat pada percubaan ahli al-batil
(penyesat) yang hendak memasukkan sesuatu yang bukan Islam ke dalam Islam,
ataupun melambat-lambatkan apa yang sepatutnya didahulukan dan mendahulukan apa
yang sepatutnya dikemudiankan.
Inilah takwil yang buruk dan fahaman yang keji di kalangan orang jahil terhadap
agama Islam, iaitu orang-orang yang tidak menghayati semangat agama dan tidak
pula membuka mata mereka kepada kebenarannya, maka ilmu mereka tidak mantap
untuk melihat kebenaran kerana mereka tidak terlepas daripada fahaman yang
menyeleweng dan membelakangkan hukum-hukum yang tetap jelas atau al-muhkamat.
Sebaliknya mereka mengikut hukum-hukum yang samar atau al-mutasyabihat dan
mencipta fitnah dan takwilan-takwilannya kerana mengikut hawa nafsu yang
menyesatkan daripada jalan Allah.
Takwil orang-orang jahil ialah mereka memakai pakaian ulama dan menzahirkan
sikap hukama. Inilah yang mesti kita berikan perhatian dan berwaspada serta
merancang langkah-langkah yang perlu bagi menghindarkan diri daripada terjebak
di dalamnya. Sesungguhnya kemusnahan golongan yang meyalahi danmeyimpang dari
aqidah dan syariat Islam serta golongan yang sesat kerana takwilan mereka yang
jelek dan keji.
Sehubungan dengan itu, penulis memetik satu ucapan jelas daripada Imam Ibn al-Qayyim
yang ditulis di dalam Kitab al-Ruh mengenai kepentingan kefahaman yang betul (baik)
tentang Hadith Rasulullah s.a.w.:
"Sepatutnya difahamkan maksud Hadith Rasulullah s.a.w. tanpa keterlaluan dan
kecuaian. Janganlah diertikan (diandaikan) maksud percakapannya kepada yang
bukan dimaksudkannya. Janganlah dikurangi maksudnya dan tujuan-tujuan
kandungannya yang terdiri daripada petunjuk dan penerangan, sesungguhnya
kecuaian dan penyimpangan maksud akan menyesatkan daripada maksud yang sebenar.
Tiada yang mengetahui melainkan Allah, bahkan fahaman yang buruk dan salah yang
menyimpang daripada maksud Allah dan Rasul-Nya merupakan punca segala bid'ah
dan kesesatan yang dihidupkan di dalam Islam, juga punca segala kesalahan dalam
memahami prinsip asas (al-usul) dan cabang hukum-hukum (al-furu'), dan tentunya
membawa kepada objektif yang salah. Fahaman yang salah juga diakui dalam
sesetengah perkara yang menjadi ikutan ramai dengan tujuan baik sedangkan orang
yang diikuti bertujuan tidak baik. Apakah musibah yang terkena pada agama dan
penganutnya (Islam)I Semoga Allah sentiasa memberi pertolongan. Apakah yang
telah berlaku kepada golongan Qadariyyaht Murji'ah, Khawarij, Mu'tazilah,
Jahmiyyah, Rawafid dan semua golongan ahli bid'ah, melainkan fahaman yang salah
mengenai Allah dan Rasul-Nya, hingga urusan memahami agama terletak di tangan
kebanyakan orang. Inilah sebab kemunculan fahaman-fahaman (yang salah), di mana
kefahaman para Sahabat dan Tabi'in r.a. mengenal Allah dan Rasul-Nya dibiarkan
dan ditinggalkan oleh mereka… hingga anda membaca al-Qur'an dari awal hingga
akhir, anda tidak mendapati fahaman sepertl golongan di atas memahami maksud
daripada Allah dan Rasul-Nya sebagaimana yang sepatutnya walau dalam satu tempat
pun. Ini kerana dia mengetahuinya daripada kebiasaan fahaman orang ramai dan
menolak apa yang didatangkan kepada Rasulullah s.a.w. lantas terjadilah perkara
yang sebaliknya, iaitu penolakan apa yang didatangkan kepada Rasulullah. Dia
mengikut apa yang dipercayainya dan yang dipilihnya serta mengikuti orang yang
disangka baik untuk dijadikan ikutan. Ketika itu kata-kata tidak berguna lagi.
Semuanya akan ditolaknya, dan dipilihnya apa yang sesuai untuk dirinya dan
berikan